Itu adalah runtunan kata akhir yang menyentuh daripada filem Ombak Rindu. Saya teruja dan berpuasa daripada membaca komen,memberi komen dan melihat elemen-elemen lain yang memberi gambaran terhadap karya ini,yang dilakarkan oleh Fauziah Ashari dan dilayarkan oleh Osman Ali.
Menjadi rutin bagi saya untuk seboleh mungkin tidak memberi sebarang pandangan atau ulasan berkenaan apapun selagi tidak mendapat maklumat yang menyeluruh.Justeru,hal sama berlaku apabila ada pihak memberi ulasan dan pandangan masig-masing berkenaan karya ini,Ombak Rindu. Rutin ini adalah disiplin saya terutamanya apabila menyentuh karya-karya yang abstrak dan sudah tentu setiap antara kita punya pandangan dan nilaian tersendiri.
Filem ini berkisar pada Izzah,seorang ustazah,guru mengaji,yang naif dan dilacurkan oleh keluarga sendiri tetapi berjaya mengubah dan memberi persepsi baharu untuk lelaki.
Ia mengangkat budaya dan nilai Melayu melalui wanita. Jika kita melihat sisi ini daripada pandangan seorang Islamis, Ombak Rindu sebenarnya telah meletakkan wanita bertudung pada tempat yang sepatutnya. Ini jelas jika dibandingkan Ombak Rindu dan Sembilu,karya komersial besar 20 tahun lepas. Dalam pada itu juga, Osman Ali telah berjaya menggarap peranan penting wanita dalam kehidupan seorang Melayu Islam.
Izzah berjaya dilakonkan dengan baik dan hampir sempurna oleh Maya Karin. Dalam keterpaksaan,Izzah masih berpegang pada nilai dan kepatuhan agamanya. Nilai ini yang sangat sukar untuk diberi tempat oleh filem-filem komersial dengan tanggapan rendah betapa peminat filem-filem Melayu hanya menonton filem-filem yang penuh dengan adegan memberahikan.
Izzah meminta dengan rela untuk menjadi isteri Harris walaupun dia terpaksa mengorbankan hak dan keistimewaannya sebagai seorang isteri. Ini dilakukan lantaran kepatuhannya terhadap anutannya dan agamanya.Izzah memilih untuk menjaga maruah seorang wanita,martabat agama dan identiti Melayu apabila mencadangkan kepada Harris untuk menjadikannya sebagai isteri yang sah.
Hubungan sebagai suami dan isteri ini walaupun tanpa pengetahuan sesiapa memberi kemudahan kepada Izzah untuk memberi apa yang Harris inginkan dan menunaikan janjinya kepada Harris. Dosa dan fitnah pada agama,wanita dan bangsa terjaga oleh hubungan ini.
Pada saya Ombak Rindu adalah contoh transisi baik filem Melayu.Untuk Islamis,filem ini adalah pembuka jalan untuk ruang dakwah yang lebih luas,tudung diterima sebagai sebahagian daripada nilai-nilai komersial semasa.
2 comments:
islamis.haha
aktivis Islam.kan?
Post a Comment