Realtime Twitter Updates

Sunday, January 01, 2012

Surat Terbuka Untuk Mahasiswa : Teruskan bereksperimen dan bersikap

Assalamualaikum…

Saya menulis surat ini dari jauh sebagai nota untuk mahasiswa. Waktu ini saya sebenarnya menyusur beberapa berita berkenaan sambutan tahun baharu 2011 di tanahair dan terjumpa beberapa nota di Twitter dan Facebook berbicara soal #safwananang; mahasiswa kritikal akibat tindakan pihak polis,pihak berkuasa.

Sejujurnya,saya belum memperolehi sebarang maklumat lanjut berkenaan insiden sebenar yang berlaku,tetapi apa yang akan saya nukilkan ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang sedikit sewaktu pernah mengambil posisi yang sama seperti mahasiswa hari ini.

Untuk adik-adik mahasiswa,dunia kampus adalah dunia yang penuh dengan juzuk ilmu yang pelbagai.Bagi pelajar kejuruteraan;akademik bukan hanya bererti kejuruteraan,akademik bukan hanya bermaksud matematik,akademik itu luas dan mencapah. Dunia kampus adalah dunia mahasiswa bereksperimen dan bersikap.Dunia kampus adalah dunia untuk kita melahirkan idea-idea baharu untuk pembangunan agama,bangsa dan negara.Di kampus, salah adalah perkara yang sewajibnya ditangani dengan,dan benar tidak bererti betul.

Berekperimen dan bersikap seolah-olah menjadi taboo dalam rencah dan definisi masyarakat hari ini,terutamanya dalam hal-hal berkaitan pemerintahan,politik,soal dasar,masa depan,dan isu-isu ekonomi yang saban hari semakin kronik.Kampus yang dimuliakan oleh sekalian makhluk, membisu,walaupun dipenuhi dengan ramai pakar dalam pelbagai lapangan dan disiplin.Pakar kejuruteraan hanya tahu kejuruteraan,dan hanya berkomunikasi dengan mesin.Pakar kejuruteraan tidak ambil tahu pembinaan insan yang bakal bergelar jurutera. Pakar bahasa bercakap hanya dalam lingkungan empat segi,bilik kuliah,dan tidak ambil peduli perkembangan bahasa dilapangan sebenar.

Bagi saya dosa bereksperimen dan bersikap di kampus dahulu adalah lebih besar daripada dosa berzina. Di kampus, pelajar-pelajar yang sibuk membawa pasangan masing-masing ke hulu dan ke hilir sehingga kadangnya terjebak dalam perlakuan zina,tidak salah.Di kampus, pelajar-pelajar yang sibuk bermain Playstation atau apa jenis permainan sekalipun;sehingga terabai pelajaran, tidak salah.Tetapi apabila mahasiswa mula bersikap dan bereksperimen dalam lapangan-lapangan politik,ekonomi dan sosial, ia mula menggamit pihak-pihak berkait.

Sesungguhnya,sikap sebegini akan merugikan negara untuk satu tempoh akan datang.

Apakah sebenarnya bereksperimen dan bersikap ini? Kedua-dua istilah ini saling berkait.Dalam setiap eksperimen yang kita lakukan,atau ujikaji yang kita buat,kita akan menemukan satu hasil diakhir eksperimen atau ujikaji yang kita lakukan.

Sepanjang tempoh ini, kita akan melakukan pelbagai proses untuk menentukan hasil yang kita bentuk melalui teori pada awalnya berhasil atau tidak,dan didalam proses ini akan berlaku sekian banyak perbincangan,perbalahan idea,perkongsian maklumat baharu dan sebagainya.Elemen-elemen didalam proses inilah yang akan menentukan adakah kita melakukan perkara yang sebenar untuk mencapai hasil yang kita jangkakan.Natijah daripada partisipasi elemen-elemen ini akan menentukan sikap kita terhadap teori yang kita letakkan pada awalnya dan akan memberi kesan kepada hasil akhir eksperimen atau ujikaji tersebut.

Dalam hal ini, mahasiswa di kampus seperti seorang ahli sains yang cuba mencari sikap dan membina perspektif terhadap perkara-perkara asas falsafah,ekonomi dan politik.Kampus adalah platform untuk berekperimen dengan idea-idea sebegini.Kampus adalah ruang untuk
mempersoalkan kesahihan idea yang wujud,kerana mungkin akan lahir teori-teori baharu.Sebagai contoh,dalam disiplin politik ekonomi, mahasiwa seharusnya bersedia menyanggah mana-mana pihak yang tidak mempraktikkan urustadbir ekonomi yang beramanah dan seimbang,seperti teori yang dipelajari didalam bilik-bilik kuliah.

Justeru,berekperimen dan bersikap tidak salah. Perkara yang salah adalah bersikap membuta tuli,menjadi 'pak turut'.

Sebagai mahasiswa yang menuntut dan minta dididik,adik-adik mahasiswa punya ruang yang besar dikampus untuk dididik menjadi insan;seorang rakyat Malaysia yang matang,hamba Tuhan yang mengenal diri dan menghargai asal usul.

Sesunguhnya,dalam struktur dan pola masyarakat hari ini,mahasiswa sebenarnya punya peranan besar untuk menjadi kumpulan pendesak yang kuat untuk apa-apa bidang sekalipun.Ini adalah kerana,untuk tempoh 20 atau 30 tahun akan datang,kelompok-kelompok inilah yang akan mengisi tampuk pelbagai kerusi kepimpinan masyarakat.

Mahasiswa Thailand,mahasiswa Filipina dan mahasiswa Indonesia sudah memberi petunjuk dan cara bagaimana mereka berperanan.Ketika waktu saya dikampus,cerita-cerita mahasiswa Universiti Trisakti,Indonesia menjadi halwa perbincangan.Mereka merobah rejim dan membentuk budaya baharu dalam masyarakat.

Saya bersikap dan sikap saya adalah supaya ruang akademik di Malaysia wajib lebih luas dan terbuka,supaya tercerna idea-idea baharu untuk pembinaan agama,bangsa dan negara.

Sekian,

0 comments: